Projek SejaTi MADANI perkasa pelancongan desa

Pengusaha Pusat Santuari Landak Raya dan Taman Haiwan Kampung Tala, Mahadzir Abdul Hamid / RTM

SIK, 18 Februari – Cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina dan cuti awal Ramadan dimanfaatkan orang ramai untuk mengunjungi destinasi pelancongan dalam negara, termasuk Pusat Santuari Landak Raya dan Taman Haiwan Kampung Tala di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat santuari dan mini zoo ditingkatkan bawah Projek SejaTi MADANI sejak 2019, mengekalkan landak raya sebagai identiti utama.
  • Sambutan pengunjung meningkat setiap musim cuti, menjadi destinasi riadah keluarga mesra kanak-kanak.
  • Keuntungan Projek SejaTi MADANI dikongsi bersama JPKKP dan Pasukan Bomba Sukarela untuk faedah komuniti.
  • Menampilkan pelbagai haiwan eksotik dan domestik seperti musang putih, tanuki, keldai, dan kuda.

Lokasi tersebut menjadi antara tumpuan pengunjung dari dalam dan luar Kedah yang mengambil peluang beriadah bersama keluarga sebelum bermulanya Ramadan.

Pengusaha pusat berkenaan, Mahadzir Abdul Hamid berkata, sejak dibuka kepada orang awam pada 2019, sambutan yang diterima amat menggalakkan, malah jumlah pengunjung meningkat setiap kali musim cuti.

Menurutnya, pusat yang beroperasi dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang itu pada awalnya hanya menternak landak raya sebelum dinaik taraf di bawah Projek Sejati Madani tahun lalu.

“Alhamdulillah sejak kita buka mini zoo dan pusat santuari landak kepada orang awam, sambutan sangat memberangsangkan.

“Kita tawarkan kelainan berbanding tempat lain kerana bukan sahaja ada haiwan eksotik, tetapi masih mengekalkan landak raya sebagai identiti utama pusat ini”, ujarnya ketika ditemui RTM.

Mahadzir turut memaklumkan, keuntungan yang diperoleh melalui Projek SejaTi MADANI dikongsi bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) serta Pasukan Bomba Sukarela Briged Yayasan Jariah Malaysia Kampung Tala bagi manfaat komuniti setempat.

Sementara itu, pengunjung yang ditemui berkata, mereka mengambil kesempatan sempena cuti panjang untuk membawa anak-anak mengenali haiwan yang jarang ditemui.

Salah seorang pengunjung yang ditemui, Mohd Daud Mat berkata beliau hadir bersama anak dan cucu untuk melihat pelbagai spesies haiwan seperti musang putih dan tanuki yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

“Saya dari Pendang bawa keluarga dan anak cucu melawat sempena cuti sekolah.

“Banyak haiwan yang tak pernah tengok seperti musang putih dan tanuki. Macam-macam ada di sini”, ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Ahmad Afwan Ahmad Salahuddin berkata, lokasi itu sesuai sebagai destinasi riadah keluarga kerana menyediakan persekitaran santai dan mesra kanak-kanak.

“Hari ini ambil peluang sebelum Ramadan bawa anak-anak datang sini. Alhamdulillah tempat ini sesuai untuk kanak-kanak, ada landak, keldai dan pelbagai haiwan lain”, katanya.

Antara haiwan yang terdapat di situ ialah keldai, rakun, tanuki, tupai, kambing, kuda, pelbagai spesies ayam serta ikan, menjadikan ia lokasi riadah keluarga yang semakin mendapat tempat di hati pengunjung.