fb fb fb fb fb

Projek RTS Link: Anthony sedia beri taklimat khusus kepada Tun M

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

GEORGE TOWN, 11 Jun- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bersedia memberi taklimat khusus kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.

Anthony berkata, beliau menghormati Dr Mahathir sebagai pemimpin negara, namun segala pandangan beliau mengenai projek berkenaan perlu berdasarkan fakta yang tepat.

“Saya tidak tahu sama ada beliau dapat maklumat benar atau tidak, saya hormati Tun (Dr. Mahathir) sebagai bekas Perdana Menteri tetapi biarlah bercakap berdasarkan fakta untuk menyatakan bahawa tidak ada pendedahan mengenai RTS, ini tidak betul.

"Projek RTS sering dibangkitkan dan ini merupakan satu projek kepada pembangunan ekonomi di negeri Johor sekarang dan untuk mengatakan bahawa beliau tidak mengetahui pasal projek ini tidak betul kerana beliau sendiri yang meluluskan projek ini.

“Kalau Tun mahu maklumat lengkap saya bersedia untuk bagi taklimat khusus kepada beliau,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan 57th Asean Senior Transport Offical Meeting (STOM), di sini hari ini.

Anthony berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan yang ditulis Dr Mahathir dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin mengenai projek RTS Link yang sedang rancak dibina.

Dr Mahathir berkata, walaupun tidak mendengar banyak laporan mengenai projek berkenaan di dalam negara, namun beliau percaya sudah tentu ia tidak boleh dibina tanpa kelulusan Kerajaan Malaysia

Dalam perkembangan lain, Anthony berkata langkah penyelarasan subsidi diesel bukan alasan untuk menaikkan harga tambang bas sekolah dan bas ekspres.
 
Katanya perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana subsidi diesel terus diberikan kepada pengusaha bas ekspress dan bas sekolah.
 
"Mereka tak ada kesan dari segi kenaikan harga diesel sebab pengusaha bas sekolah, bas ekspres ini sudah sedia menerima subsidi dan tidak ada perubahan dari segi itu kerana mereka diberikan 'free cut' dan harga untuk SKDS1.0 iaitu pengusaha-pengusaha bas ekspress dan bas sekolah kekal pada harga RM1.88 sen 1 liter untuk diesel jadi apa yang mendorong mereka nak naikkan harga? Jadi kalau soal ini digunakan alasan untuk menaikkan harga tambang bas sekolah tambang bas ekspres itu tak tidak berpatutan," jelasnya.
 
Ujarnya tambang bas ekspres tidak boleh dinaikkan tanpa kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), manakala tambang bas sekolah pula bukan lagi di bawah kawalan Kementerian Pengangkutan.
 
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI