
NIBONG TEBAL, 11 April – Projek pembangunan Rumah MutiaraKu (RMKu) kepada 23 keluarga di Ladang Sungai Kechil di sini yang berhadapan tindakan pengusiran ekoran kemelut tanah sejak lebih 10 tahun lepas, dijangka bermula tahun ini.
- Peruntukan RM7 juta untuk membina unit RMKu C1, diserahkan percuma kepada penduduk asal sebagai rumah pengganti.
- Fasa kedua memerlukan perobohan struktur sedia ada; pembinaan dijangka mengambil masa kira-kira 18 hingga 20 bulan.
- Pembangunan menjangka memberi impak sosioekonomi positif, peluang pekerjaan, perniagaan tempatan, RIBI dibina semula dan infrastruktur awam diperkukuh.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata RM7 juta diperuntukkan bagi membina 23 unit gantian jenis RMKu C1, iaitu teres setingkat 750 kaki persegi yang akan diserahkan percuma kepada penduduk asal, sekali gus memberi manfaat semua pemilik terlibat.
“Apabila kita memulakan fasa kedua, struktur sedia ada akan dirobohkan untuk pembinaan baharu. Tempoh pembinaan dijangka mengambil masa kira-kira 18 hingga 20 bulan, manakala fasa pertama akan menangani isu penempatan semasa penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelesaian bersama-sama penduduk Ladang Kechil bagi cadangan pembangunan RMKu Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini.
Cadangan pembangunan itu juga dijangka memberi impak sosioekonomi positif kepada penduduk setempat melalui peningkatan peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti perniagaan tempatan dan memperkukuh jaringan kemudahan awam.
Sementara itu, seorang penduduk, S. Ambigapathi, meluahkan rasa syukur selepas menunggu hampir sembilan tahun untuk memiliki kepastian mengenai kediaman mereka.
“Gembira selepas kami menunggu sembilan tahun, turun naik mahkamah, akhirnya hari ini kami dapat berita ini. Saya sangat bersyukur kerana perjuangan kami untuk rumah ini akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Pembangunan itu turut merangkumi pembinaan semula Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sebagai usaha memelihara keharmonian masyarakat setempat dan dalam masa sama, kemudahan awam serta infrastruktur asas disediakan secara terancang bagi memastikan persekitaran yang selesa dan kondusif.
Projek pembangunan itu melibatkan keluasan 6,146 ekar dan dirancang secara menyeluruh bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, khususnya dalam kalangan bekas pekerja ladang dan warga emas.