fb fb fb fb fb

Projek rintis SBA, 10 lokasi dipilih bermula tahun depan

Foto Hiasan

TUMPAT, 11 November - 10 daripada 141 pintu masuk negara dipilih sebagai projek rintis bagi agensi tunggal sempadan negara (SBA) dijangka bermula suku pertama tahun hadapan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pemilihan lokasi projek rintis itu dijalankan mengikut beberapa ciri dan keunikan kes melibatkan pintu sempadan.

Katanya, antara 10 pintu masuk tersebut adalah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan dan ICQ Johor serta Sabah.

"Kita mulakan langkah dengan melaksanakan dulu projek perintis, jadi kita akan memilih beberapa pintu masuk negara.

"Lokasi ini adalah antara pintu masuk yang kita pilih kerana Johor dan KLIA terkenal dengan kesibukan, manakala di Rantau Panjang pula unik kerana sibuk pada waktu tertentu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pos Barisan Hadapan Briged Tenggara (BDE TGRA) Pasukan Gerakan Am (PGA) Nibong di Pengkalan Kubor, di sini.

Tambah Saifuddin, perbincangan terperinci berhubung projek rintis berkenaan sedang giat dijalankan dan dijangka akan dimulakan awal tahun depan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN