fb fb fb fb fb

Projek rintis pembantu guru dilaksana, kurangkan beban guru

Ruji Ubi/RTM

BUKIT BARU, 17 Februari- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan projek rintis bagi melantik dua hingga tiga orang pembantu guru di sekolah yang mempunyai lebih 1,500 murid.

Ketua Setiausahanya Datuk Ruji Ubi berkata langkah itu bertujuan mengurangkan beban tugas perkeranian guru bagi membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran.

"Di peringkat atasan, Yang Berhormat (Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek) dan pengurusan tertinggi telah bersetuju untuk melihat sekolah-sekolah besar dengan bilangan murid 1,500 ke atas bagi pelaksanaan projek rintis ini.

"Kami akan cuba melantik pembantu guru, mungkin secara inisiatif MySTEP, seramai dua hingga tiga orang bagi membantu guru menguruskan kerja perkeranian," katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Palembang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ruji memaklumkan KPM memperuntukkan sebanyak RM9 juta bagi program latihan guru di luar negara tahun ini bertujuan memberi pendedahan kepimpinan serta memperkasa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara.

"Saya mahu guru sama ada di KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah dihantar keluar bagi mendapatkan perspektif lebih luas.

"Mereka akan kembali dengan kepimpinan baharu yang akan menentukan hala tuju sekolah, guru serta murid," katanya.

Guru yang terpilih akan menjalani latihan selama satu hingga tiga bulan di pelbagai negara termasuk Singapura dan Amerika Syarikat.

SITI AISHAH MD ISA