fb fb fb fb fb

Projek Rintis Dasar Gaji Progresif, komitmen kerajaan reformasi pasaran buruh

Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR, 6 Jun- Kerajaan menyasarkan pelaksanaan Projek rintis Dasar Gaji Progresif sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian itu membuat penilaian dan pelarasan termasuk prosedur pendaftaran serta mendapatkan maklum balas peserta dan pemengang taruh pada September depan.

Beliau menjelaskan ia adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja selari peningkatan produktiviti.

"Hasrat kita adalah untuk meneruskan Dasar Gaji Progresif ini sebagai salah satu mekanisme bagi menambah baik kadar upah atau gaji pekerja di Malaysia.

"Meskipun kadar gaji telah ditetapkan dalam syarat, itu adalah kadar yang munasabah dan memang boleh ditanggung. Tetapi paling penting, kita nak lihat kepada kejayaan Dasar Gaji Progersif ini sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan gaji pekerja," katanya dalam sidang media selepas sesi Town Hall Projek Rintis Dasar Gaji Progresif di ibu negara.

Setakat ini, kira-kira 500 majikan telah mendaftar dan memohon menyertai projek rintis itu sejak pendaftaran dibuka pada 1 Jun lepas .

Tambahnya, kerajaan menyasarakan penglibatan 1,000 syarikat dalam projek rintis berkenaan meliputi lima sektor iaitu pembuatan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, maklumat dan komunikasi .

Berdasarkan data statistik majikan berdaftar melalui Portal ASSIST PERKESO hingga 29 Mei lalu, sebanyak 290,659 majikan layak memohon insentif tunai melalui Dasar Gaji Progresif dengan anggaran 6,335,971 pekerja sektor formal menerima gaji antara RM1,500 dan RM4,999 sebulan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI