fb fb fb fb fb

Projek Rancangan Tebatan Banjir disegerakan - PM

(Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni salah seorang penduduk
terjejas banjir ketika turun padang meninjau Pusat Pemindahan Sementara
(PPS) Sekolah Kebangsaan Gemereh hari ini/Foto Bernama)

SEGAMAT, 5 Mac- Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM600 juta atau lebih akan disegerakan mulai Jun ini.

Langkah tersebut bagi mengatasi masalah banjir yang sering kali berlaku di beberapa negeri.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Ahad.

"Isu banjir ini kalau tidak dilakukan apa-apa yang serius ia akan berulang.

"Banjir ini bukan kali pertama, bertahun-tahun, oleh itu kita putuskan projek yang mahal RM600 juta atau lebih untuk tebatan banjir akan disegerakan," katanya.

(Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada sidang media selepas melawat penduduk terjejas
banjir di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah hari ini/Foto Bernama)

Beliau menyatakan demikian selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah, di sini hari ini.

Jelas beliau, projek RTB sebelum ini ditangguhkan sementara bagi mengelak ketirisan dan proses urusan tender.

Namun melihat kepeluan yang cukup mendesak, kerajaan memutuskan ia harus disegerakan.

Banjir terkawal, tiada keperluan isytihar darurat bencana

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan tiada keperluan mengisytiharkan darurat berikutan jangkaan hujan akan berkurangan dan banjir di beberapa kawasan sudah mulai surut.

"Keputusan kerajaan tidak umumkan darurat kerana jangkaan hujan mulai berkurangan dan beberapa tempat air banjir sudah sedikit surut walaupun ada masalah di tempat termenung, jadi itu mengambil masa, tetapi tidak perlu darurat," jelas beliau.

Sebelum itu, Anwar turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan Gemereh dengan meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni penduduk dan menyerahkan bakul makanan.

PPS berkenaan menempatkan 125 penduduk daripada 32 keluarga.

Media Baharu