fb fb fb fb fb

Projek rakyat akan diteruskan di semua kawasan

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 11 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, projek untuk rakyat akan diteruskan di semua kawasan tanpa mengira peruntukan disalurkan sama ada melalui kawasan ahli parlimen atau tidak.

Beliau berkata, sebagai contoh projek seperti pembasmian miskin tegar akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh tanpa mengira kawasan parlimen.

"Soal peruntukan saya nak tegaskan semula. Sama ada melalui parlimen atau tidak projek rakyat diteruskan. Umpamanya pembasmian kemiskinan tegar. Itu menyeluruh tanpa mengira kawasan, begitu juga projek-projek asas," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan ahli parlimen pembangkang untuk tidak mempolemikkan isu tidak menerima peruntukan sehingga membuat dakwaan kononnya mereka dihimpit beban kewangan.

"Jadi saya jelaskan dua perkara pertama, pendapatan mereka keseluruhannya itu di antara mencecah lebih RM40,000 sebulan, elaun tetap RM25,700 kemudian elaun sidang, elaun mesyuarat jawatankuasa parlimen, elaun perjalanan. Jadi keseluruhannya lebih daripada RM30,000 hingga RM40,000 tetapi ada yang menerima lebih daripada jumlah itu sekiranya ahli parlimen duduk jauh.

"Tetapi saya nak tekankan jangan bagi gambaran seolah-olah terlalu sukar kerana ramai rakyat lain yang tidak memiliki elaun perjalanan, perkara itu yang saya ingin beri penekanan.

"Ramai Ahli Parlimen pembangkang cerita bagaimana susahnya hidup mereka tak dapat peruntukan... Tetapi saya nak tekankan janganlah bagi gambaran seolah-olah (hidup) terlalu sukar," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ihya Ramadan bersama warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa menghadiri program Ihya Ramadan anjuran KBS dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan pada pukul 12.15 tengah hari disambut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta timbalannya, Adam Adli Abd Halim.

Program dimulakan dengan mesyuarat antara Perdana Menteri dan pengurusan tertinggi KBS bagi membincangkan pelbagai perkara berhubung pemantapan tatakelola, inisiatif KBS dan pencapaian utama kementerian.

Anwar kemudian menghadiri sesi tazkirah oleh penceramah JAKIM, Ustaz Mohd Lukmanul Hakim Mokhtar bertajuk ‘Ramadan: Tarbiah Emosi dan Jasmani Belia MADANI’.

Selepas sesi tazkirah, Anwar menyertai warga KBS untuk menunaikan solat Zohor secara berjemaah.

Sementara itu, KBS dalam kenyataan memaklumkan Program Ihya Ramadan itu bertujuan sebagai wadah Perdana Menteri bertemu dengan warga KBS bagi memanfaatkan bulan Ramadan dengan mengisi amalan kerohanian menerusi majlis ilmu.

Perdana Menteri bermesyuarat dengan pengurusan tertinggi KBS bagi membincangkan pelbagai perkara berhubung pemantapan tadbir urus, inisiatif KBS dan pencapaian utama kementerian.

Mengulas mengenai mesyuarat tersebut, Hannah berkata, Perdana Menteri memberikan nasihat dan panduan untuk KBS memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khasnya untuk golongan belia luar bandar.

"Kita telah memberikan pembentangan mengenai hala tuju KBS dan memberikan laporan mengenai peruntukan yang telah kita terima dan bagaimana kita telah melaksanakan program," kata Hannah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI