IPOH, 16 April - Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Stesen Penyelidikan Padi dan Beras Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) akan melaksanakan projek pembangunan tanah sawah terbiar sebagai langkah mendepani cabaran sekuriti makanan negara.
Projek perintis akan dilaksanakan di Kampung Kandang Hulu, Mukim Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar; melibatkan 20 komuniti dengan kawasan tanah seluas 20 ekar.
Exco Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, varieti padi yang akan digunakan adalah daripada jenis NMR152 yang mempunyai sifat lebih tahan kepada tanah yang kering, cuaca yang ekstrem dan serangan penyakit.
Varieti itu mengambil masa kira-kira 110 hari untuk matang sebelum boleh dituai.
"Kaedah-kaedah yang dibentangkan itu tidak terlalu teknikal dan memerlukan air yang banyak dan sebagainya, saliran perparitan dan sebagainya berbanding dengan kadar air yang minimum dengan cuaca yang baik akan menghasilkan padi yang optimum dan ini akan membantu masyarakat luar bandar dalam menghasilkan pengeluaran hasil makanan dalam bidang pertanian," kata Zolkafly, di sini.
"Sebab tanah itu dulu sebenarnya tanah sawah tetapi sudah terbiar, mungkin generasi tanam padi sudah tiada dan generasi kedua yang ada sekarang ini, jadi mereka cetuskan semula," kata Naib Cancelor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof, di sini.
Pelaksanaan projek tersebut juga akan diperluas ke kawasan lain termasuk di perkampungan Orang Asli di Perak.
Kawasan sawah padi terbiar di Perak ialah berjumlah kira-kira 11,000 hektar dengan bilangan lot sebanyak 4,004 buah.