KRUBONG, 4 Julai- Kajian terperinci projek rintis pelaksanaan ‘No Right Turn’ atau penutupan jalan masuk ke sebelah kanan yang akan dilaksanakan di Persimpangan Stadium Hang Jebat, Melaka akan dirumus dalam masa sebulan.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagaimanapun pelaksanaan itu hanya akan dibuat pada waktu puncak iaitu bermula jam 6.00 hingga 9.00 pagi dan 4.00 petang hingga 7.00 malam.
(Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh)
"Saya akan mengadakan dua kali lagi mesyuarat mungkin dalam tempoh 30 hari selepas ini baru kita akan laksanakan kerana kita juga perlu memberitahu kepada masyarakat tentang pemikiran bahawa beberapa jalan ini tidak lagi ada jalan belok ke kanan dan pemikiran ini perlu diberikan dan jalan alternatif untuk mereka belok ke kanan juga telah disediakan Jabatan Kerja Raya (JKR)", katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan lokasi pelaksanaan inisiatif itu di Persimpangan Stadium Hang Jebat, Lebuh Sungai Udang dan Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).
Tinjauan bersama Jawatankuasa pemantauan kesesakan jalan raya itu bertujuan untuk meneliti alternatif terbaik penyuraian trafik di kawasan berkenaan dan kesannya kepada pengguna.
"Kita akan kaji sebenarnya ke mana arah pengguna trafik ini pergi selepas ditutup dan tentunya kita akan buat sedikit penambahbaikan terutamanya fasa lampu isyarat. Tumpuan kita adalah di persimpangan Hang Jebat, manakala kita akan melihat kesan daripada penutupan itu kepada dua simpang sahaja iaitu persimpangan Krubong dan persimpangan Gangsa", katanya.
Terdahulu, laluan berkenaan dilaporkan mengalami kesesakan padat khususnya pada waktu puncak susulan tindakan pemandu menggunakan laluan kanan untuk membuat pusingan U.