ALOR SETAR, 9 Februari- Terminal Bas Shahab Perdana di Mergong, Kedah yang berusia kira-kira 25 tahun bakal berwajah baharu apabila projek naik taraf fasa pertama yang bermula pada Oktober tahun lalu dijangka siap pada April ini.
Projek terbabit yang melibatkan dua fasa menelan belanja sebanyak RM12 juta dengan penyediaan 16 platform bas bagi fasa pertama.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata fasa pertama melibatkan Sistem Tiket Berpusat dan Sistem Operasi Terminal.
Manakala pada fasa kedua akan melibatkan kerja-kerja perubahan insfrastruktur seperti pengubahsuaian dan reka bentuk semula laluan bas, kaunter tiket bas, ruang niaga, gerai makan, tandas dan kawasan landskap.
"Fasa pertama, kita akan clearkan dulu sebahagian platform bas, kemudian platform yang ada sekarang ini akan diubah suai menjadi ruang legar. Bangunan terminal yang ada sekarang pula akan mengalami sedikit ubah suai.
"Di atas, akan ada hotel bajet, hotel backpacker, ruang niaga, dan kita juga akan menaik taraf kemudahan seperti parkir. Beberapa kemudahan lain juga akan ditambah.
"Struktur tidak akan dirobohkan, tetapi akan dinaik taraf, diubah suai, bumbung akan dicat semula, dan kami akan membaiki mana-mana yang bocor. Kita akan lihat fasa pertama dahulu," katanya selepas mengadakan sesi "walkabout" ke Terminal Bas Shahab Perdana di sini.
Beliau juga memberi jaminan bahawa keutamaan akan diberikan kepada peniaga sedia ada, termasuk 20 peniaga di medan selera.
Selain itu, pemandu teksi juga akan diberikan tempat di terminal terbabit.