fb fb fb fb fb

Projek naik taraf laluan pejalan kaki dan ruang menunggu SKJ(C) Uk Daik, Sibu siap dalam masa terdekat

Joseph Chieng melakukan lawatan ke tapak projek naik taraf laluan pejalan kaki dan ruang menunggu SKJC Uk Daik, Sibu

SIBU, 27 Jun- Jalan raya sempit, diburukkan lagi dengan ruang pejalan kaki yang terlalu kecil.

Keadaan itu memberi risiko keselamatan kepada lebih 300 murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Uk Daik Sibu.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, sistem perparitan di hadapan sekolah ini akan dinaik taraf menjadi laluan parit bertutup bagi menjadikannya ruang berjalan kaki dan ruang menunggu murid semasa pergi dan balik dari sekolah.

ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata projek tersebut telah dimulakan dan dijangka akan dapat disiapkan dalam tempoh empat bulan.

“Projek naiktaraf sistem perparitan sepanjang 160 meter panjang dan 1.2 meter lebar itu sudah lama dimohon oleh pihak sekolah dan akhirnya dilulus dan dilaksanakan bawah Inisiatif Projek Rakyat tahun ini.

“Sebanyak RM282,000 telah diperuntukkan oleh pihak Majlis Perbandaran Sibu untuk projek ini,” katanya ketika ditemui media semasa melakukan lawatan ke tapak projek pagi tadi.

Joseph Chieng juga memberitahu beliau akan memberikan komitmen untuk meluluskan dana bagi kerja pembinaan atap tambahan di laluan tersebut untuk murid-murid berteduh daripada panas dan hujan.

“Selepas siap naik taraf sistem perparitan kelak, saya akan gunakan dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk membina bumbung di laluan ini.

“Keadaan di sini sangat tidak teratur semasa masa waktu selepas sekolah ketika ibu bapa mengambil anak mereka.

“Situasinya berbahaya, jadi saya mahu mereka menunggu di parit bertutup itu kelak dengan selamat sementara menunggu kereta ibu bapa sampai dan mereka hanya perlu turun ke kereta,"katanya lagi.

Joseph Chieng turut memaklumkan sepanjang projek itu dilaksana, jalan raya di hadapan sekolah berkenaan akan ditutup sementara untuk laluan kenderaan dan dibuka mengikut jadual ditetapkan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE