fb fb fb fb fb

Projek Menaiktaraf LRA Bukit Selambau capai tahap 30%

Projek Menaiktaraf LRA Bukit Selambau bernilai RM124.9 juta dibiayai melalui geran kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Kedah.

MERBOK, 8 Mei- Kerja-kerja pemasangan paip bagi Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau ketika ini telah mencapai tahap 30 peratus.

Bagaimanapun, kerja-kerja fizikal itu masih perlahan berbanding jadual sepatutnya dan kerja-kerja pemasangan paip itu perlu disegerakan untuk kemudahan rakyat yang kini berdepan dengan masalah gangguan bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri Kedah, Mohamad Yusuf@Munir Zakaria berkata hasil perbincangan dengan pihak kontraktor yang dilantik, mereka berjanji akan menambah bilangan pekerja dan pasukan yang terlibat dalam projek pemasangan tersebut.
 
Katanya, ia bagi memastikan kerja-kerja pemasangan paip dapat dilakukan dengan lebih cepat.
 
"Projek berkenaan merupakan projek besar dan sangat penting, sekali gus memastikan bekalan air bersih yang mencukupi serta berkualiti kepada penduduk.
 
"Projek itu diharap dapat diselesaikan dengan berjaya dan memberi manfaat kepada komuniti setempat," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pemasangan paip di sekitar kawasan Tanjung Dawai, Merbok.

Projek yang bernilai RM124.9 juta itu dibiayai melalui geran kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Kedah.

Kerja-kerja menaik taraf projek berkenaan dikatakan terlalu perlahan dan lewat daripada jadual sepatutnya.

Isu berkenaan juga pernah mendapat perhatian Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang turun padang meninjau dan memantau sendiri perkembangan projek tersebut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM