SEBERANG PERAI, 16 Januari- Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Kini kementerian itu sedang menyediakan memorandum jemaah menteri untuk dibawa ke kabinet untuk diluluskan.
"Akan dimuktamadkan dalam masa terdekat malah semalam saya ada mesyuarat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan dengan projek LRT P.Pinang.
"Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk menyediakan memorandum jemaah menteri untuk dibawa ke kabinet untuk diluluskan dari segi pelaksanaannya," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC), dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) di sini.
LPNPP sebagai agensi kerajaan negeri yang berperanan dalam hal ehwal perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, akan membantu Perbadanan ini dalam penyusunan semula setinggan-setinggan di Kampung Manis bagi memastikan tiada penduduk yang tercicir.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata Penggubalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap merupakan langkah baik untuk mengurangkan masalah dan atau isu politik dalam tempoh satu penggal Parlimen sekiranya berjaya dilaksanakan.
Bagaimanapun menurut Anthony Jabatan Perdana Menteri sedang memperhalusi perkara tersebut sebelum dibawa ke kabinet.
"Kita bersetuju bahawa memang dari segi prinsipnya adalah baik kerana dia mengurangkan masalah atau isu-isu politik dalam tempoh Parlimen itu. Namun begitu untuk pelaksanaannya perlulah dilihat sistem Parlimen ini pernah dilaksanakan di United Kingdom," katanya.