fb fb fb fb fb

Kapal LCS pertama ditauliahkan hujung 2026

Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Rahman Ayob berucap pada upacara penamaan dan pentauliahan Kapal Diraja Sri Sabah dan Sri Sarawak TLDM di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang/BERNAMA

KUANTAN, 19 Januari- Penyambungan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang tergendala kini berjalan dengan baik.

LCS pertama dijangka berada di permukaan air pada Mei atau Jun ini, seterusnya menjalani ujian pemasangan sistem dan peralatan, seperti Harbour Acceptance Test dan Sea Acceptance Trial selama 22 bulan.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, kapal LCS pertama akan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada hujung 2026.

Ia akan diikuti kapal LCS kedua dalam tempoh lapan bulan, sehingga kapal kelima setiap lapan bulan berikutnya.

"Itu kapal pertama, kemudiannya apabila program berjalan lancar, lapan bulan berikutnya akan terima LCS kedua, lapan bulan berikutnya ketiga, keempat. Jadi kejayaan pertama ini amat kritikal dalam menentukan kesinambungan projek ini, seterusnya kapal kedua sehinggalah kelima", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Upacara Penamaan dan Pentauliahan Patrol Craft (PC) Sri Sabah dan Sri Sarawak di Jeti Tanjung Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan.

ROSLINA BINTI DIN