SEREMBAN, 5 Disember - Pelaksanaan projek Ladang Satelit Nasional (LSN) dan Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Negeri Sembilan, diteruskan.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata projek itu melibatkan LSN Londah dan LSN Ulu Ladang.
Katanya, kedua-dua LSN itu dibina di atas tanah rizab Padang Ragut di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri yang dibangunkan di tanah seluas 128 hektar dan 40 hektar.
Selari dengan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025, Jalaluddin berkata kerajaan negeri telah melaksana beberapa tindakan bagi memperkasa serta meningkatkan daya saing projek LSN.
"Daripada 14 unit kandang ini, kita telah kenal pasti 13 penternak yang begitu kompeten untuk diberikan lot-lot di kawasan 14 kandang ini. Sehingga 31 Oktober 2023, JPTR telah menyokong permohonan pajakan melibatkan 13 unit kandang dan kini sedang dalam proses kelulusan oleh MMKN, manakala baki satu unit kandang masih lagi kosong dan dibuka kepada penternak untuk permohonan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15, di sini.
Tambah Jalaluddin, Negeri Sembilan menyasarkan tahap sara diri bagi daging lembu atau kerbau sehingga 40 peratus menjelang 2025.