fb fb fb fb fb

Projek jalan raya pesisir Sarawak sentiasa dipantau

Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo melawat laluan pesisir Sarawak

BALINGIAN, 23 Januari - Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan akan terus memantau projek pembinaan jalan pesisir Sarawak, bagi memastikan kontraktor dilantik menyiapkan projek mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, keseluruhan projek tersebut melibatkan sebanyak 23 pakej, dengan 13 daripadanya berada di bahagian Mukah.

"Daripada jumlah itu, empat pakej kerja naik taraf jalan raya didapati mengalami kelewatan dan ditender semula.

“Salah satu pakej yang lewat, iaitu jalan raya dari Balingian ke Kuala Balingian yang mengalami kelewatan hampir 30 peratus daripada jadual," katanya selepas mendengar taklimat status perlaksanaan projek oleh wakil JKR Mukah di Balingian hari ini.

Katanya, bagi mengatasi kelewatan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan agar bertindak segera dengan melakukan penelitian semula kontrak tersebut.

"JKR perlu memastikan kontraktor dapat menyediakan 'catch up plan' yang realistik dan mereka dapat memenuhi pelaksanaan itu.

"Tetapi jika mereka tidak mampu, pihak JKR atau agensi pelaksana yang bertanggungjawab akan memulakan apa yang disebut sebagai ‘Termination Review Team’, iaitu satu semakan untuk memastikan sama ada kontraktor itu dapat meneruskan atau tidak projek berkenaan.”

Dalam pada itu, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi ketika ditemui berharap kontraktor dapat mempercepatkan perlaksanaan projek naik taraf jalan tersebut.

Ini memandangkan Bahagian Mukah akan menerima kehadiran atlet dari seluruh negara dalam Sukan Malaysia, (SUKMA) pada bulan Ogos akan datang.

"Kita berharap kontrak ini berjalan dengan lancar agar perjalanan atlet-atlet dari luar kawasan Mukah bertambah baik.

“Sekurang-kurangnya para atlet ini nanti mempunyai kenangan baik ketika mereka melawat bahagian Mukah," katanya lagi.

Bahagian Mukah merupakan bahagian yang paling jauh dilalui oleh jalan pesisir.

Projek di bahagian ini merangkumi 8 pakej pembinaan dan naik taraf jalan raya, 3 pakej jambatan dan satu pakej pembinaan bulatan, yang meliputi keseluruhan laluan sepanjang lebih 137 kilometer.

GRACE AISYAH KEDAYAN