fb fb fb fb fb

Projek HSR: Perbincangan rasmi dibuat selepas dipersetujui Kabinet

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 Mei- Perbincangan rasmi Malaysia-Singapura tentang projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) akan dibuat selepas dipersetujui Kabinet.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada rakan sejawatnya dari Singapura, Chee Hong Tat.

"Memang ada perbincangan dengan Menteri Pengangkutan Singapura dalam pelbagai perkara, antaranya saya ada maklumkan mengenai HSR tetapi masih tiada yang rasmi lagi.

"Saya jelaskan bahawa cadangan rasmi mengenai HSR hanya akan dibentangkan atau dibincangkan dengan Singapura selepas kita mendapat kelulusan daripada Kabinet," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini.

Pada Januari lalu, tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa menyerahkan cadangan konsep bagi projek HSR Kuala Lumpur-Singapura kepada MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp).

Tujuh konsortium berkenaan melibatkan 31 firma yang mewakili spektrum penuh projek itu.

Konsortium yang disenarai pendek untuk peringkat kertas cadangan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dijangka akan diumumkan bulan depan.

Sementara itu, Loke berkata 1,000 tempat akan disediakan bagi melatih pemandu lori untuk mendapatkan lesen kelas E.

Jelasnya, ia ditaja Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Langkah itu merupakan inisiatif hasil kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Loke berkata, ia bertujuan melahirkan lebih ramai pemandu lori yang terlatih, selain memberikan pulangan gaji lumayan kepada mereka yang memiliki lesen E serta Lesen Kenderaan Barangan (GDL).

"Satu lagi inisiatif sedang dilaksanakan antara MOT dan KESUMA melalui HRD Corp.

"HRD Corp akan menaja 1,000 tempat untuk melatih dan memberikan lesen E dan GDL kepada pemohon-pemohon baharu.

"Maksudnya, mereka yang layak mendapat tawaran ini, mereka akan dilatih, dan menjalani ujian serta latihan dan akhirnya mereka akan mendapat lesen E dan GDL," katanya.

Tambahnya, pihaknya turut akan melaksanakan inisiatif baharu bagi membenarkan kenderaan penggerak utama ('prime mover') kenderaan elektrik (EV) untuk berada di atas jalan raya dalam masa terdekat. 

Dalam pada itu, Loke berkata langkah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil alih semua saham dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang belum dimiliki mereka mendapat sokongan penuh kerajaan.

Ia langkah terbaik dua badan itu menerusi konsortium diterajui mereka bagi meningkatkan lagi pegangan dalam syarikat berkenaan.

Jelasnya, konsortium diterajui Khazanah dan KWSP mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh mereka pada harga tawaran RM11 sesaham.

"Sudah tentu bagi MOT, kita selari dan seiring dengan tindakan serta keputusan daripada khazanah sebab ini merupakan satu keputusan yang dibuat oleh Khazanah.

"Khazanah sebagai pengurus aset strategik kerajaan, sudah tentu kita sokong langkah ini," kata Anthony.

Beliau mengulas keputusan Khazanah dan KWSP mengambil alih saham MAHB yang belum dimiliki mereka serta dakwaan Khazanah menjual syarikat itu kepada pihak luar.

Konsortium dikenali sebagai 'Gateway Development Alliance' (GDA) itu terdiri daripada Khazanah menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd, KWSP, anak syarikat milik penuh 'Abu Dhabi Investment Authority' (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh 'Global Infrastructure Partners' (GIP).

Tambahnya, apabila tawaran itu selesai, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus ketika ini kepada 40 peratus, manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM