KOTA BHARU, 23 April- Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan sudah mencapai kemajuan sehingga 78.03 peratus setakat Mac lalu .
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding pada Februari lalu.
Peningkatan pembinaan berkenaan hasil kerjasama daripada semua pihak dan kerja tersebut mengikut jadual ditetapkan.
Kerja pemasangan landasan dari Gebeng, Pahang ke Dungun, Terengganu sudah siap sepenuhnya sepanjang 92 kilometer (km), manakala dari Gebeng ke Maran, Pahang sepanjang 97 km sudah siap kira-kira 33 km.
"Untuk sistem pembinaan kerja-kerja landasan, kalau dahulu kita laporkan bermula dari Kuantan Port City di Gebeng menuju ke Dungun melibatkan 125 kilometer.
"Sekarang pembinaan landasan itu telah dimulakan dari Kuantan Port City menuju ke Marang, Terengganu dan kita menjangkakan pengunaan landasan akan dibina menuju ke Kota Bharu pada penghujung tahun 2024," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini.
Sehingga Mac bagi pembinaan projek keseluruhan ECRL yang merangkumi empat negeri dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor berada pada tahap 64.01 peratus.
Sementara itu kerja-kerja pemasangan melibatkan pembinaan sistem elektrifikasi, semboyan dan telekomunikasi bagi pengoperasian kereta api penumpang dan kargo dijangka bermula Mei depan.
Perkara itu bagi membolehkan pemasangan landasan dari Dungun, Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan dilaksanakan penghujung Disember tahun ini.
"Pengoperasian seperti dimaklumkan pada Januari 2027, maksudnya seperti yang kita maklumkan ada dua hari raya lagi sebelum kita dapat menaiki ECRL dari Kuala Lumpur ke Kelantan.
"Perjalanan dijangka mengambil masa selama empat jam sahaja berbanding dengan jarak perjalanan masa melebihi 12 jam, ada juga sehingga 15 jam dan ada yang mencecah 24 jam," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yakin projek ECRL dijangka siap mengikut jadual iaitu pada Disember 2026 sebelum mula beroperasi pada Januari 2027.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu melibatkan 20 stesen telah memasuki fasa baharu pembinaan sejak 2023.
Ia merangkumi kerja-kerja infrastruktur seperti pemasangan rasuk jejambat, pemasangan landasan, pembinaan stesen dan pembinaan depot kereta api.