fb fb fb fb fb

Projek bekalan air tertangguh lapan tahun, ADUN Tamin minta KKDW bertindak segera

ADUN Tamin, Ir Christopher Gira Sambang menghadiri Program Agriculture Community Outreach Program (AGRICOP) di Selangau

SIBU, 27 April- ADUN Tamin, Ir Christopher Gira Sambang menegur pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang mengambil masa terlalu lama untuk merancang dua projek bekalan air di kawasan DUN Tamin.

Beliau berkata, projek pertama adalah naik taraf Loji Rawatan Air Stapang yang akan membekalkan bekalan air bersih ke penduduk di Skuau, Batu 36 Stapang, Nanga Tajam dan kawasan Ulu Oya.

Projek berkenaan diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2016 .

Projek kedua pula adalah Projek Naik Taraf Loji Penapisan Air Selangau bernilai RM200 juta yang telah diumumkan oleh kementerian tersebut di mana loji itu akan membekalkan air terawat kepada kawasan Balingian, Ulu Bauh, Jalan Dijih dan kawasan Ulu Selangau.

Jelas Gira, setiap kali pihaknya bertanya bila projek itu akan dilaksana, jawapan yang diterima adalah kedua projek itu masih dalam perancangan.

“Setiap kali jawapan diberi kepada kita semua masih dalam perancangan, lebih kurang lapan tahun dalam perancangan.

“Saya tidak berapa puas hati kerana perancangan begitu lama sebab rakyat betul-betul memerlukan air bersih di kawasan rumah panjang,"tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Agriculture Community Outreach Program (AGRICOP) di Selangau hari ini.

ADUN Tamin itu berharap pihak kementerian itu memandang berat isu tersebut dan mempercepatkan kerja pembinaan dua projek ini seterusnya menyambungkan saluran air paip ke kawasan rumah-rumah panjang di dua lokasi tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE