fb fb fb fb fb

Projek Bandar Maritim Kuala Kedah perlu jaga kepentingan nelayan tempatan

Foto RTM

ALOR SETAR, 2 Jun -Syarikat dari China yang akan melaksanakan Projek Pembangunan Bandar Maritim (Perikanan) di Kuala Kedah diminta meneliti semula cadangan pelaksanaan projek berkenaan.

Ini bagi memastikan pembangunan projek berkenaan turut melibatkan nelayan tempatan disamping memelihara ekosistem sedia ada di Kuala Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sains Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata Kerajaan negeri sentiasa mengamalkan sikap mesra perniagaan dan sosioekonomi seimbang demi memastikan pembangunan lestari dapat direalisasikan.

Katanya, kepakaran yang dimiliki oleh China dan kerjasama dengan syarikat tempatan dijangka mampu membina lanskap baharu sektor perikanan negeri dan negara.

“Saya turut berbesar hati menerima kunjungan delegasi ini kerana dalam sektor pengeluaran ikan dunia, China menduduki tempat pertama dengan 58.8 juta tan metrik setahun.” Katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama delegasi dari China mengenai cadangan melaksanakan projek pembangunan Bandar Perikanan dan pembangunan bercampur di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Projek berkenaan akan dilaksanakan di atas tanah tebus guna seluas 3,500 ekar di kawasan perairan Kuala Kedah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD