fb fb fb fb fb

Projek Air Pulau Pinang-Perak tunjukkan perkembangan positif

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir/Foto RTM

KEPALA BATAS,13 Jun-Projek Air Pulau Pinang - Perak yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 5 Mei lalu, menunjukkan perkembangan yang positif.

Ia juga merupakan langkah mitigasi yang diambil kerajaan Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sementara menunggu projek air berkenaan siap, usaha kerajaan Pulau Pinang mengambil langkah mitigasi dipuji kerajaan pusat dalam menyelesaikan isu krisis air yang berlaku khususnya kawasan Seberang Perai Selatan (SPS).

"Alhamdulillah, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan komitmen yang sangat jelas untuk menjayakan usaha ini.

"Jadi, bagi saya di pihak kementerian memang kita menyambut penuh. Cuma perancangan itu bukan hanya melibatkan sumber air semata-mata ia melibatkan sumber air, bekalan air dan juga perancangan untuk membuka satu lagi kawasan industri hijau di Kerian", katanya demikian ketika ditemui pada Pelancaran 'Sailing Towards Sustainability ESG Initiative Commencement and Renewable Energy Handover Ceremony' yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, di sebuah pasar raya di Bertam, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah mitigasi dalam menguruskan air.

"Memang hasrat kita adalah agar persetujuan dapat dicapai secepat mungkin bagi memulakan pelaksanaan projek.

"Projek ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya 5-6 tahun untuk di laksanakan dan disiapkan sebelum bekalan air boleh sampai kepada pengguna", katanya.

Perbincangan berkaitan Projek Air Pulau Pinang dan Perak bersama Perdana Menteri dijangka akan diadakan selepas Mesyuarat Majlis Berkaitan Perubahan Iklim, esok.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD