Program Ziarah Seni MADANI manfaatkan 183 Penggiat Seni, RM144,900 disalurkan sejak 2023

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menyantuni pelakon Amyza Aznan di Angkasapuri, Kota Media. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM144,900 kepada 183 penggiat seni tanah air menerusi Program Ziarah Seni MADANI sejak 2023.

RINGKASAN BERITA AI
  • FINAS melaksanakan Program Ziarah Seni MADANI untuk memberikan sokongan kebajikan kepada penggiat seni.
  • Program mencatat peningkatan penerima: 8 pada 2023, 49 pada 2024 dan 123 serta sumbangan RM82,000 pada 2025.
  • Setakat 2026, tiga penggiat menerima bantuan berjumlah RM5,000.
  • Timbalan Menteri Teo Nie Ching menyantuni pelakon Amyza Aznan; Amyza menghargai sokongan emosi dan moral kementerian serta FINAS.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata program kebajikan tersebut mencatatkan peningkatan drastik dalam jumlah penerima setiap tahun.

Statistik menunjukkan seramai lapan penerima mendapat manfaat pada tahun 2023, diikuti 49 orang pada 2024, dan melonjak kepada 123 orang dengan sumbangan berjumlah RM82,000 pada tahun 2025.

Bagi tahun 2026, seramai tiga penggiat seni telah menerima sumbangan berjumlah RM5,000 setakat hari ini.

Beliau memaklumkan FINAS menyasarkan sekurang-kurangnya 100 pelakon atau seniman yang memerlukan sokongan kebajikan akan dibantu sepanjang tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Teo turut menyantuni pelakon Amyza Aznan yang kini sedang diuji dengan kehilangan anak sulungnya pada bulan lalu, selain anak keduanya yang kini dilaporkan menghidap kanser tulang.

Amyza menzahirkan penghargaan mendalam atas sokongan emosi dan bantuan moral diberikan oleh pihak kementerian serta FINAS.