Program Ziarah Kasih FCoEE di bawah PPITM berjaya capai sasaran

Foto FCoEE

KANGAR, 17 Januari – Program Ziarah Kasih yang dilaksanakan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) merupakan salah satu inisiatif kebajikan di bawah pelaksanaan Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Ziarah Kasih FCoEE capai sasaran ziarah 104 pelajar asnaf dan keluarga di seluruh Perlis.
  • Turun padang bukan sahaja sumbangan barangan dan wang tunai tetapi menyemai kasih sayang serta keprihatinan.
  • Program bantu FCoEE menilai latar belakang peserta untuk perbaiki pelan strategik PPITM 2026–2030.
  • Pelaksanaan bersama rakan strategik termasuk Jabatan Pendidikan Perlis, UUM, UiTM Perlis dan PTSS.

Program yang dilaksanakan sejak penghujung Oktober 2025 lalu berjaya mencapai objektif dan sasaran ditetapkan hari ini dengan menyantuni kesemua 104 pelajar asnaf bersama keluarga seluruh Perlis.

Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata melalui pendekatan turun padang ke kediaman masing-masing, program tersebut bukan sekadar menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai, tetapi turut menjadi wadah bagi menyemai semangat kasih sayang dan keprihatinan antara pihak FCoEE, rakan strategik serta keluarga setiap peserta yang terpilih.

“Program Ziarah Kasih turut berfungsi sebagai medium untuk FCoEE menilai serta memahami latar belakang dan perkembangan terkini setiap peserta terdiri anak-anak asnaf agar pelaksanaan PPITM dapat terus ditambah baik dalam pelan strategik FCoEE 2026 hingga 2030 yang kini sedang digerakkan secara berperingkat,” menurut beliau ketika dihubungi RTM.

Program tersebut dilaksanakan bersama rakan strategik yang menjadi nadi penggerak utama termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis serta Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).

Tambahnya, FCoEE terus komited menjunjung amanah untuk memperkasa pendidikan berteraskan nilai kemanusiaan, menyemai budaya prihatin, serta memperluas impak positif PPITM kepada komuniti setempat khususnya melibatkan anak-anak dari keluarga asnaf.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan