PUTRAJAYA, 20 Mei - Setiap pemohon program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dijamin tidak akan dipinggirkan untuk menyertai pengajian yang ditawarkan di 1,345 institusi itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini lebih 30,000 tempat ditawarkan kepada pemohon yang layak menerusi lebih 700 kursus yang disediakan.
“Kita khuatir kalau ikut trend lama, yang memohon akan berjumlah lebih 100,000 orang, jadi saya minta sekretariat untuk pastikan jangan ada seorang pun kecil hati dari segi memperolehi tempat belajar.
“Walaupun tidak ada sijil akademik sama ada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), kita akan terima selagi pemohon adalah warganegara Malaysia untuk memasuki mana-mana institusi TVET di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem Unit Pengambilan TVET (UPTVET), di sini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Vokasional Negara (MTVET) berkata bagi memperkasa bidang TVET dalam negara, kursus yang ditawarkan juga tertumpu kepada kursus TVET bertaraf tinggi seperti dalam bidang kecerdasan buatan, kenderaan elektrik dan robotik.
UPTVET berperanan sebagai saluran tunggal permohonan kemasukan kursus TVET merentasi semua kementerian berkaitan TVET.
Penggunaan saluran tunggal UPTVET yang fleksibel dengan mengambil kira keperluan pelbagai syarat masuk bagi ambilan sesi perdana dan ambilan sepanjang tahun merupakan satu inisiatif untuk membuka ruang seluasnya kepada rakyat Malaysia untuk menyertai program TVET.