fb fb fb fb fb

Program TVET Pengurusan Masjid, lahir para imam berkaliber

Foto Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah

PADANG TERAP, 7 November - Lapan pelajar Program Pendidikan Latihan teknikal dan vokasional (TVET) Pengurusan Masjid, Akademi Latihan Islam Darul Aman (ALIM) menerima Sijil Tamat Kursus selepas tamat pengajian.

Manakala 13 huffaz dari akademi sama menerima Sijil Tahfiz Malaysia yang dikeluarkan Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Majlis Penyampaian Sijil TVET Pengurusan Masjid Dan Sijil Tahfiz Malaysia disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Datuk Dr Abd Ghani@Zulkifli Zainuddin di Akademi Latihan Islam Darul Aman Kampung Padang Kerasak di Naka, di sini.

Program TVET Pengurusan Masjid merupakan satu platform pendidikan yang melahirkan para imam yang berkaliber dalam mengurus dan menyusun atur organisasi masjid dengan lebih tersusun.

Program itu memfokuskan kepada modul pengurusan masjid iaitu pelajar akan mengikuti kursus selama enam bulan yang berpusat di Akademi Latihan Darul Aman (ALIM).

Sepanjang tempoh tersebut pelajar didedahkan dengan kemahiran subjek-subjek asas fardu ain seperti Tauhid, Fekah, Akhlak, Talaqqi Al-Quran, Hafazan Al-Quran, subjek ICT dan subjek Pengurusan Kewangan secara teori.

Mereka turut dibekalkan dengan kursus sembelihan secara praktikal yang dianjurkan Bahagian Pengurusan Halal JHEAIK.

Sijil Tahfiz Malaysia (STM) pula satu bentuk pengiktirafan kepada Huffaz yang telah menamatkan hafazan 30 juzuk dan sijil ini dikeluarkan Darul Quran, JAKIM.

Bermula tahun ini, Bahagian Pendidikan JHEAIK mengambil langkah menguruskan pelajar-pelajar tahfiz di Negeri Kedah yang layak sebagai calon peperiksaan STM.

Sebagai persediaan sebelum menduduki peperiksaan, calon-calon STM dibekalkan dengan teknik menjawab soalan dan kelas intensif selama dua minggu oleh Pensyarah dari Darul Quran dan Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR).

Bagi siri 1 tahun 2023, seramai 38 orang calon telah menduduki peperiksaan STM, daripada jumlah itu 13 orang calon berjaya lulus dalam peperiksaan tersebut.

Program TVET yang diperkenalkan di pusat tahfiz berupaya melahirkan tenaga mahir negara dalam bidang teknikal seiring dengan kehendak industri mengikut peredaran zaman.

Secara tidak langsung dapat melahirkan generasi modal insan yang baik untuk masa depan negara.

Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu sebanyak RM17 juta disediakan kerajaan untuk melaksanakan Program Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri berkata, ia akan membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan.

TETITIA YUSOFF