Program Tadarus Al-Quran eratkan ukhuwah muslimat kariah

FOTO RTM

KUALA PERLIS, 10 Mac – Seramai 50 muslimat kariah sekitar Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyertai Program Tadarus dan Khatam Al-Quran bagi mengimarahkan bulan Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Tadarus dan Khatam memperkukuh ukhuwah muslimat serta meningkatkan pemahaman terhadap Al-Quran sepanjang Ramadan.
  • Peserta membaca Al-Quran bergilir hingga mengkhatamkan bacaan, memberi peluang mendalami isi kandungan ayat-ayat suci.
  • Majlis penutup menyaksikan pemberian saguhati khas dan harapan program terus menjadi pemangkin cinta kepada Al-Quran.

Program tersebut merupakan kesinambungan daripada aktiviti tadarus Al-Quran yang dijalankan secara berterusan sepanjang Ramadan, di mana para peserta membaca Al-Quran secara bergilir-gilir sehingga berjaya mengkhatamkan bacaan masing-masing.

Menurut Penaung Muslimat Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Norhayati Hashim, program itu bukan sahaja mengeratkan ukhuwah dalam kalangan muslimat, malah memberi peluang kepada peserta meningkatkan pemahaman terhadap Al-Quran di samping merebut keberkatan bulan Ramadan.

Beliau berkata, penghayatan terhadap isi kandungan ayat-ayat Al-Quran mampu memberi inspirasi serta galakan kepada muslimat untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT, selain mendorong mereka menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Norhayati memaklumkan perkara itu ketika Majlis Penutup Program Tadarus dan Khatam Al-Quran di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang turut menyaksikan pemberian saguhati khas bersempena Ramadan dan Aidilfitri kepada setiap peserta.

Program yang dilaksanakan saban tahun khususnya sepanjang Ramadan itu diharap terus diberkati Allah SWT dan menjadi pemangkin untuk menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat.