KUALA LUMPUR, 12 Disember- Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menjelajah ke 40 lokasi berbeza pada tahun hadapan bersempena ulang tahun ke-40.
Ia bagi meraikan kejayaan dan keutuhan program itu sejak mula diterbitkan pada tahun 1984 sehingga kini.
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan, keunikan kandungan program itu dianggap sebagai salah satu faktor kejayaan SPM.
"Resepi program ini bertahan lama sebab ia memaparkan aktiviti rakyat Malaysia dari hari ke hari sepanjang tahun memaparkan keunikan, kepelbagaian negara kita dan juga aktiviti rakyat Malaysia yang juga kita boleh lihat secara berterusan konsisten, tidak ada kata orang rancangan itu terberhenti dan kami hari ini meneruskan legasi-legasi penerbit, pengacara dan mereka yang pernah berada dalam SPM sehinggalah ke hari ini," kata Md Shahri kepada pemberita di Angkasupuri Kota Media di sini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Seksyen Ehwal Semasa RTM, Rahayu Wahid berkata lokasi pertama yang dipilih pada tahun hadapan adalah di Melaka dan Perak, sekali gus meraikan Tahun Melawat Melaka dan Perak 2024.
"Insya-Allah di lokasi-lokasi lain seperti di Sabah, Kundasang, Terengganu dan pelbagai lokasi menarik untuk kita uar-uarkan kepada semua penonton setia RTM. Dan kita janjikan sesuatu yang segar, selari dengan tahun baharu, azam dan semangat yang baharu untuk SPM lebih menarik," kata Rahayu.
Tambah Rahayu, SPM akan terus menerbitkan segmen-segmen yang menarik untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat.