fb fb fb fb fb

Program sifar sisa di 17 PPR kini capai 60 peratus

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu merasmikan Program Karnival Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) di PRRS Pinggiran Putra 3 di Kuantan, Pahang pagi tadi/Foto Facebook Timb. Menteri KPKT

KUANTAN, 26 Mei - Program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) kini telah mencapai 60 peratus di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak program itu diperkenalkan pada Mac 2020 melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, program pengurusan barangan kitar semula itu menyasarkan 70 peratus unit kediaman di 17 Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terpilih menjelang tahun 2025.

Menurutnya, inisiatif KOSIS ini dirangka bagi memudahkan dan membantu komuniti PPR untuk menjalankan rawatan sisa serta menukarkan barangan kitar semula kepada tunai.

"KPKT komited meningkatkan kadar kitar semula kebangsaan kepada 40 peratus menjelang tahun 2030 serta mengalakkan pertumbuhan ekonomi kitaran.
 
"Daripada lebih 50 PPR seluruh negara hanya 17 PPR melaksanakan KOSIS setakat ini.

"Impak pelaksanaan KOSIS di 17 PPR dalam tempoh 2019 hingga tahun lalu merekodkan jumlah kutipan sisa kitar semula lebih 461,685 kilogram (kg) dengan nilai RM138,502," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Karnival Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra 3 di sini pada Ahad.
 
Inistiatif KOSIS telah diperkenalkan di PPRS Pinggiran Putra, Kuantan pada 20 Mac 2020 melibatkan 188 unit atau 28.3 peratus premis berpenghuni.
 
Sepanjang tempoh pelaksanaan Program KOSIS di PPRS Pinggiran Putra dari tahun 2020 hingga April 2024 sebanyak 45,596.13kg barang kitar semula, 8,945.84kg minyak masak dan 885.33kg sisa makanan telah direkodkan dengan nilai jualan sejumlah RM29,378.91.
 
Malah, pusat KOSIS di PPRS Pinggiran Putra merupakan yang pertama diserahkan pengurusannya kepada Persatuan Penduduk pada tahun ini yang akan dipantau oleh SWCORP secara berkala.

"Justeru, KPKT dan SWCorp telah mengatur hala tuju program KOSIS untuk meningkatkan penglibatan dan keterlibatan komuniti setempat dalam menjaga dan menguruskan pusat KOSIS dengan lebih berkesan," katanya.

Program KOSIS dapat meningkatkan penglibatan masyarakat setempat pada aktiviti kesedaran kebersihan persekitaran serta pengamalan budaya kitar semula dalam kehidupan.

GRACE AISYAH KEDAYAN