fb fb fb fb fb

Program Semarak Syawal Agro Madani dapat sambutan menggalakkan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu / Foto RTM

KLANG, 6 April - Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan harga berpatutan pada Program Semarak Syawal Agro Madani.

Program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu juga memberi peluang pasaran tambahan kepada usahawan untuk meningkatkan pendapatan semasa musim perayaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kebanyakan barangan yang dijual pada program itu lebih murah berbanding biasa dan pihaknya akan memastikan bekalan di setiap lokasi mencukupi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang Selangor pagi tadi.

Tambahnya lagi, program tersebut akan diteruskan seiring dengan peranan FAMA untuk membantu meringankan beban rakyat.

Pada majlis sama, Datuk Seri Mohamad turut menyampaikan sumbangan kepada 30 orang anak yatim serta mengagihkan pelbagai snek makanan kepada pengunjung.

Program Semarak Syawal Agro Madani itu diadakan di 753 lokasi outlet pemasaran FAMA seluruh negara sejak 3 April lalu.

FAMA juga menyasarkan nilai jualan RM30.5 juta sepanjang program berlangsung.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD