fb fb fb fb fb

Program RMR 2.0 terima sambutan menggalakkan rakyat Malaysia - SPNB

Foto RTM

PASIR PUTEH, 9 Jun- Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2.0 yang dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mendapat permintaan menggalakkan daripada kalangan penduduk seluruh negara.
 
Di Kelantan sahaja, kesemua 60 permohonan di bawah Program RMR 2.0 sudah di luluskan.
 
Daripada jumlah itu, enam buah rumah RMR 2.0 sudah disiapkan manakala 54 unit lagi dalam pembinaan.
 
Menurut Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa, sebanyak 750 permohonan di terima di bawah Program RMR 2.0 di seluruh negara dengan 270 sudah diluluskan.
 
"Program RMR 2.0 memberi kelebihan untuk rakyat memiliki rumah lebih cepat berbanding projek RMR 1.0 dengan membuat bayaran tunai terus sebanyak RM55,000 di buat kepada pihak SPNB manakala kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM20,000 sama seperti projek RMR 1.0," kata Datuk Husam kepada pemberita.

Datuk Husam ditemui selepas sesi penyerahan RMR secara percuma kepada balu legenda bola sepak Kelantan, Allahyarham Wan Ezila Wan Daud di Kampung Gong Datok, di sini.
 
Balu arwah, Suhaini Muhammad Asri bakal mendapat rumah percuma yang disediakan pihak SPNB di bawah program khidmat tanggungjawab sosial korporat syarikat (CSR).
 
Sumbangan itu bagi menghargai jasa Allahyarham Wan Ezila dalam arena bola sepak.
 
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, pihak SPNB memperuntukkan RM1 juta setiap tahun bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM