fb fb fb fb fb

Program Repatriasi Migran langkah kurangkan PATI

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 1 Mac- Pelaksanaan Program Repatriasi Migran yang bermula hari ini sehingga 31 Disember depan merupakan satu langkah mengurangkan jumlah keberadaan Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Malaysia.

Perkara itu dilihat akan mengimbangi elemen keselamatan serta menjana ekonomi negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengecualian pendakwaan diberikan kepada PATI yang hadir serah diri untuk pulang ke negara asal mereka.

Pendaftaran dan pelaksanaan program itu dikawal selia Jabatan Imigresen Malaysia sepenuhnya dengan perincian lanjut mekanisme pelaksanaan oleh jabatan.

"Dalam menguruskan proses penghantaran pulang ini, kita tidak layan dan tak guna sebarang khidmat ejen. Kita ingatkan juga kepada kelompok-kelompok yang terlibat nak balik, kalau ada niat nak guna khidmat ejen, lupakan. Kita tidak akan layan penggunaan ejen.

"Jadi ini satu lagi contoh macam mana kita benar-benar memberikan kelegaan dan mempermudahkan warga asing yang termasuk dalam kategori ini supaya mereka boleh mengambil peluang ini," katanya dalam sidang media di sini.

Setakat pukul 12.00 tengah hari tadi seramai 848 orang PATI sudah mendaftar untuk menyertai program Repatriasi Migran.

PATI yang menyertai program itu tidak akan disiasat atau dikenakan tindakan oleh Jabatan Imigresen walaupun memasuki Malaysia tanpa pas yang sah, tinggal lebih masa di negara ini atau melanggar syarat pas lawatan yang sebelum ini dikeluarkan kepada mereka.

Dalam pada itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan dasar levi yang lebih mesra majikan dan industri berkuatkuasa hari ini.

Saifuddin berkata, ia sebagai langkah meneruskan kesinambungan kerajaan untuk menambahbaik pengurusan ekosistem pengurusan pekerja asing dalam negara.

Perkara itu juga bagi memastikan proses pulangan levi kepada majikan berjalan lancar selain penambahbaikan yang signifikan kepada dasar dan proses pemulangan levi yang lebih mesra kepada majikan juga industri.

"Yang pertama mengurangkan tempoh masa pemprosesan pulangan balik levi daripada 53 hari kepada 28 hari bagi permohonan di peringkat kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen. Bagi permohonan di peringkat kelulusan Ketua Setiusaha KDN pula dari 77 hari ke 38 hari.

"Kedua kita akan membenarkan majikan membuat tuntutan pulangan balik bayaran levi pekerja asing selepas tempoh enam bulan sah laku surat kelulusan bersyarat, dengan keseluruhan baki kuota pekerja asing diserahkan semula kepada kerajaan," katanya.

Saifuddin berkata penambahbaikan berkenaan juga berjaya memendekkan proses dan bakal memanfaatkan semua majikan memerlukan pulangan levi dengan kadar segera selain memberikan kesan gandaan positif kepada ekonomi negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI