fb fb fb fb fb

Program Rekreasi Inklusif beri pendedahan aktiviti rekreasi lasak kepada OKU

Para peserta bergambar bersama sebelum melakukan aktiviti air lasak

GOPENG, 18 Januari- Penyertaan lima orang pelajar orang kurang upaya (OKU) dalam Program Rekreasi Inklusif buat individu OKU di RiverBug baru-baru ini, memberi pendedahan aktiviti rekreasi lasak kepada golongan itu, selain meningkatkan kemahiran pelajar untuk menyantuni OKU sewaktu berekreasi.

Program tersebut dianjurkan oleh 36 pelajar Bachelor Sains Taman dan Rekreasi, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pengarah program, Muhammad Fakhrul Azim Muhammad Nizam, 23, berkata program tersebut meningkatkan nilai inklusif dalam kalangan masyarakat terhadap semua individu.

“Penganjuran program ini merupakan amali dua kursus kami iaitu kursus Rekreasi Terapeutik bagi Golongan Istimewa dan kursus Pengurusan Risiko dalam Rekreasi.

“Ini merupakan pengalaman yang berharga buat kami semua dalam menyantuni orang peserta OKU bersama orang awam yang kita terima melalui persatuan OKU", katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, UPM, Dr Mohd. Aswad Ramlan berkata penglibatan golongan OKU dalam aktiviti rekreasi dapat membina jambatan untuk memastikan setiap individu tanpa mengira kekurangan berasa diterima dan dihargai dalam masyarakat.

Beliau yang juga penyelidik dalam bidang rekreasi terapeutik di UPM menjelaskan bahawa aktiviti rekreasi bukanlah semata-mata tentang keseronokan, ia juga merupakan medium kepekaan masyarakat terhadap kepelbagaian individu dalam komuniti.

“Dengan mengambil langkah kecil untuk melibatkan OKU dalam aktiviti rekreasi, individu bukan sahaja memberi mereka peluang yang sama, tetapi juga membina kelompok masyarakat yang MADANI, inklusif dan bertanggungjawab", katanya.

"Langkah tersebut penting dalam membangunkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan OKU dan membuka ruang bagi mereka untuk terlibat secara aktif dalam kehidupan komuniti.

Penganjuran program ini juga secara tidak langsung menyokong Pelan Strategik UPM 2021-2015 Matlamat 1 iaitu melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang.

ROSLINA BINTI DIN