fb fb fb fb fb

Program Pra Tahfiz KEMAS bakal diperluas ke 233 TABIKA di Kedah

Pengarah KEMAS Negeri, Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan

SUNGAI PETANI, 1 Ogos- Program Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan diperluas ke 233 buah Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS melibatkan lebih 8,000 kanak-kanak di Kedah, tahun ini.
 
Jumlah itu meningkat berbanding hanya empat Tabika KEMAS yang dijadikan sebagai perintis pra tahfiz, tahun lalu.

Pengarah KEMAS Negeri, Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan berkata, program ini yang dilaksanakan tahun lalu, menunjukkan perkembangan yang positif.
 
Beliau berkata kanak-kanak terlibat juga telah menunjukkan penguasaan asas dalam zikir, selawat, doa-doa harian, iqra dan hafazan.

Katanya, program tersebut yang bertujuan untuk melahirkan huffaz cilik yang menguasai hafazan al-Quran (Juzuk 30) dengan bacaan (Qiraat) Adab dan Tadabbur dan akan diperluas melibatkan keseluruhan 16,456 kanak-kanak yang sedang mengikuti pembelajaran di 811 Tabika KEMAS di negeri itu, tahun depan.

"Kita buat berfasa sebab kita perlu latih guru-guru kita, sebab bila berkaitan dengan al-Quran kita perlu pastikan guru-guru menguasai, bukan semudah itu untuk kita tiba-tiba terus buat.

"Kita perlu latih guru-guru dengan kemahiran-kemahiran, mereka ada kelayakan baru kita laksanakan program ini, sebab kita nak bukan setakat mewar-warkan saja, tetapi keberkesanan dalam pelaksanaan program itu", katanya kepada RTM selepas Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz KEMAS Peringkat Negeri Kedah tahun 2024 di Sungai Petani, Kedah.

Program yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti KEMAS Parlimen Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff itu melibatkan 276 peserta terdiri daripada guru-guru KEMAS di 12 daerah.

"Saya yakin anak-anak yang bermula dengan tahfiz ini bila masuk ke alam sekolah rendah, menengah mereka akan lebih berjaya.

"Kalau kita lihat sekolah menengah tahfiz sains baru-baru ini di Kedah menjadi sekolah yang paling cemerlang. Sebab orang Islam ini kalau boleh hafal 30 juzuk al-Quran, sebenarnya subjek-subjek lain itu mudah sahaja", kata Datuk Shahanim ketika ditemui pemberita dalam program tersebut.

Sebelum ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menambah baik Modul Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI).
 
Modul PPI merupakan nilai tambah kepada kurikulum Pendidikan Islam sedia ada yang merangkumi penyusunan semula kandungan modul keseluruhan, pengaplikasian kaedah pembelajaran yang bersifat kontemporari dan berkonsep didik hibur.  

ROSLINA BINTI DIN