Program Pembeli Utama Getah RISDA catat RM3.79 juta nilai pembelian setakat Februari

Foto hiasan / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah berjaya membeli dan mengumpul sebanyak 1,197.77 tan metrik getah pekebun kecil, dengan nilai pembelian terkumpul berjumlah RM3.79 juta setakat Februari, sepanjang tempoh pelaksanaan inisiatif Pembeli Utama Getah yang telah bermula sejak awal Januari 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • RISDA sebagai Pembeli Utama Getah langkah strategik memulihkan martabat industri getah dan mengurangkan kebergantungan import.
  • Inisiatif mengukuhkan rantaian bekalan tempatan serta meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui kenaikan harga pembelian RPSB daripada RM3.00 kepada RM3.70 sekilogram.
  • Kerajaan komited merealisasikan kesejahteraan lebih 508,000 pekebun kecil selaras Aspirasi Desa MADANI dengan sasaran pengeluaran domestik dan peningkatan pendapatan.

Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif RISDA sebagai Pembeli Utama Getah merupakan langkah strategik untuk mengembalikan martabat industri getah negara.

Ia juga membantu mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, meningkatkan pendapatan luar bandar, serta memastikan daya saing masa depan sektor komoditi ini.

“Inisiatif ini dijangka memberi impak besar kepada negara. Pengeluaran getah domestik berpotensi meningkat sehingga 75 peratus, dengan sasaran kutipan sebanyak 300,000 tan metrik pada tahun 2026, sekali gus menyumbang kira-kira 29 peratus kepada keperluan domestik.

“Langkah ini penting untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap import getah asli, yang dianggarkan bernilai RM7.6 bilion pada tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memastikan usaha untuk meningkatkan taraf hidup lebih 508,000 pekebun kecil di seluruh negara direalisasikan sepenuhnya, selaras dengan semangat Aspirasi Desa MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, kelestarian ekonomi dan pembangunan yang saksama.

Tambah beliau, Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA akan terus memperkukuh peranannya sebagai Pembeli Utama Getah, di samping meningkatkan purata harga pembelian oleh RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) daripada sekitar RM3.00 kepada RM3.70 sekilogram (kg).

Beliau berkata sebelum ini, harga getah di peringkat ladang hanyalah sekitar RM3.00 sekilogram, menyebabkan pekebun kecil yang memiliki satu hektar tanah hanya memperoleh kira-kira RM750 sebulan.

“Peningkatan ini akan secara langsung menaikkan purata pendapatan bulanan pekebun kecil daripada RM1,125 kepada RM1,387.50, dengan tambahan sebanyak RM387.50 sebulan atau RM4,650 setahun bagi setiap pekebun kecil.

“Bagi ladang seluas 1.5 hektar, pendapatan dijangka mencecah RM1,708 sebulan, manakala bagi kawasan seluas 2.0 hektar dan ke atas, ia berpotensi mencapai sekitar RM2,278 sebulan,” katanya.