
BESERI, 11 Februari -Lebih RM1.737 juta diperuntukkan tahun ini bagi memastikan 4,759 pekebun kecil di Perlis menerima manfaat sebaiknya daripada pelaksanaan Program Pembangunan Pekebun Kecil.
- Peruntukan RM1.737 juta disalurkan untuk manfaat 4,759 pekebun kecil melalui Program Pembangunan Pekebun Kecil.
- Fokus bantuan meliputi penanaman semula getah, pembangunan hasil baharu, pengeluaran, rawatan dan pencegahan penyakit.
- RISDA melalui RPSB melaksanakan inisiatif pembelian getah nasional untuk menstabilkan dan menaikkan harga getah.
- Program disertai pameran agensi, ceramah produktiviti, sesi soal jawab, cabutan bertuah dan Program Jualan Rahmah MADANI.
Ahli Pihak Berkuasa RISDA, Ruzaini Rais berkata, peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu, memfokuskan supaya bantuan dapat dinikmati melalui variasi program yang telah dirangka secara holistik.
Katanya, program yang dilaksanakan merangkumi pembangunan pekebun kecil melalui penanaman semula getah, pembangunan hasil baharu, pengeluaran hasil getah, rawatan dan pencegahan penyakit.
“Setiap peruntukan yang disalurkan kepada agensi berkaitan bagi dalam memastikan golongan sasar menerima manfaat terbaik dan dalam pada masa sama akan melihatkan keyakinan serta persepsi positif masyarakat terhadap pihak
kerajaan,” katanya kepada pemberita dalam Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Negeri Perlis di Dewan Seri Melati, Beseri.
Bagi membantu pekebun kecil, RISDA melalui RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) kini melaksanakan inisiatif pembelian getah di seluruh negara, dengan hasrat untuk menjadi pembeli utama getah negara, sekali gus menyumbang kepada penstabilan dan peningkatan harga getah.
Pelbagai aktiviti berlangsung termasuk pameran pelbagai agensi, slot ceramah dan penerangan berkaitan produktiviti getah, sesi soal jawab bersama pegawai berpengalaman serta cabutan bertuah dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).