fb fb fb fb fb

Program Pembangunan Integriti Komuniti, tiga zon di Johor Bahru dipilih sebagai perintis

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd Haffiz Ahmad / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 30 April – Tiga zon di Johor Bahru telah dipilih sebagai perintis bagi pelaksanaan Program Pembangunan Integriti Komuniti (CIB) yang bertujuan memperkasakan nilai integriti dalam kalangan masyarakat setempat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran dan kepekaan masyarakat terhadap isu-isu integriti di sekeliling mereka, di samping menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam membina ekosistem integriti yang kukuh di peringkat tempatan.

"Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan masyarakat terhadap isu-isu integriti yang berlaku dalam persekitaran mereka serta memperkasa komuniti sebagai agen perubahan dalam pembangunan ekosistem integriti di peringkat tempatan," katanya ketika ditemui selepas Program Peluncuran Taklimat CIB yang berlangsung di Menara MBJB, di sini hari ini.

Jelas beliau, tiga kawasan yang terpilih sebagai zon perintis ialah Bandar Baru Uda, Bandar Dato Onn dan Desa Cemerlang.

Tambah Mohd Haffiz, menerusi pelaksanaan program tersebut, komuniti terlibat juga diberi akses untuk membuat aduan secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MBJB, sekali gus memperkukuh ketelusan dan kecekapan pentadbiran pihak berkuasa tempatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD