Program normalisasi seks songsang bertentangan agama dan undang-undang – JAKIM

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee

KUALA LUMPUR, 10 Januari – Sebarang usaha atau pendekatan yang menormalisasikan perlakuan seks songsang jelas bercanggah dengan prinsip dan ajaran Islam, serta bertentangan dengan nilai akhlak, tamadun dan kerangka perundangan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAKIM menegaskan normalisasi seks songsang bertentangan ajaran Islam, nilai akhlak dan perundangan negara.
  • Perbuatan seks songsang dianggap kesalahan di bawah undang-undang termasuk Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah dan seksyen Kanun Keseksaan.
  • JAKIM bersama JAIS dan PDRM memantau, tidak akan berkompromi, serta memberi penerangan dan pencegahan kepada masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee menegaskan perkara itu susulan penganjuran program “Glamping With Pride” oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada isu kesihatan dan hak lelaki gay, biseksual serta lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki di Malaysia.

“Perbuatan sedemikian merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Seksyen 25] serta Kanun Keseksaan [Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D], yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii,” jelas beliau.

Beliau menambah, isu ini sentiasa dipantau rapi oleh JAKIM bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjuran yang bercanggah dengan ajaran Islam, undang-undang dan ketenteraman awam.

JAKIM juga akan terus melaksanakan penerangan, pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam, agar tidak terpengaruh atau menormalisasikan perlakuan songsang sebagai gaya hidup.

Datuk Dr. Sirajuddin menasihatkan semua pihak supaya mematuhi undang-undang dan menyerahkan sebarang isu berkaitan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan selanjutnya.