SINTOK, 14 Mac – Penganjuran Program Mobiliti Pelajar ASEAN 2025 yang pertama kali diadakan, dilihat memberi impak yang sangat positif kepada aspek kerjasama universiti tempatan dan universiti-universiti ASEAN serta membolehkan peserta meningkatkan kemahiran kepimpinan serta kerjasama berpasukan.
Menurut Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar, program diadakan sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 itu juga, menjadi satu promosi berkesan kepada Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau dan antarabangsa.
Jelas beliau, UUM melalui CIAC diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk menerajui program mobiliti melibatkan 500 pelajar ASEAN di universiti tempatan, sebelum peserta menghadiri Pameran dan Forum Universiti Pelajar ASEAN 2025 (AEF2025) yang berlangsung pada 24 hingga 25 Februari lalu.
“Saya lihat program ini memberi impak yang sangat besar. UUM diberi tanggungjawab menguruskan program peringkat ASEAN yang kita lihat sebagai satu pengiktirafan kepada universiti. Bagi menjayakan Program Mobiliti Pelajar ASEAN 2025, ia menuntut satu kerjasama erat dalam kalangan universiti di Malaysia dan negara ASEAN yang menghantar pelajar mengikuti program di sini. Jadi, program ini membuka ruang kepada peningkatan kerjasama pendidikan tinggi bukan sahaja di negara kita tetapi negara serantau. Kerjasama ini boleh dipertingkat dan dimanfaatkan untuk mengadakan pelbagai lagi program bersama pada masa hadapan untuk kepentingan pendidikan tinggi negara kita.
“Selain itu, program turut menjadi medan kepada peserta mengasah bakat kepimpinan dan semangat kerja berpasukan tanpa mengira latar belakang. 500 pelajar ini mewakili 95 universiti seluruh ASEAN berpeluang membincangkan pelbagai isu berkaitan kepentingan ASEAN. Dalam tempoh 2 minggu, mereka berpeluang membina rangkaian dan semangat yang ditunjukkan peserta adalah petunjuk bahawa membina hubungan rakyat kepada rakyat di peringkat ASEAN bukanlah sesuatu yang mustahil,” jelas Dr. Arpah.
Menurutnya lagi, walaupun program berlangsung selama dua minggu, peserta berjaya memupuk semangat setiakawan ASEAN dan pemahaman mengenai silang budaya.
“Peserta yang datang dari pelbagai latar belakang budaya dapat menjalin keakraban dan paling penting, saling mempercayai antara satu sama lain. Jadi, jika ia dapat dipupuk pada usia muda, ia memberi kesan jangka panjang kepada perpaduan serantau. Aktiviti seperti ini perlu diperbanyakkan untuk mengukuhkan pendidikan tinggi dan perpaduan ASEAN,” katanya.
Menurut Dr. Arpah, program kali pertama diadakan ini berjaya mencapai matlamat iaitu mengukuhkan kerjasama pendidikan serantau, memupuk kolaborasi akademik rentas sempadan dan memperkaya aktiviti pertukaran budaya dalam kalangan mahasiswa ASEAN yang selari dengan aspirasi integrasi serantau.
Ia juga selaras dengan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui agensi seperti Education Malaysia Global Services (EMGS).
“Agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi ini sangat relevan kerana pendidikan adalah asas kepada pembangunan diri individu dan juga sesebuah negara. Menerusi aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini, kita dapat melihat kematangan peserta membahaskan isu-isu berkepentingan bersama bertemakan perubahan cuaca, kerjasama antara negara ASEAN dan pembangunan belia. Hujah-hujah yang dilontarkan peserta, menggambarkan kepekaan mereka terhadap pentingnya pengukuhan blok ASEAN dan meningkatkan interaksi rakyat kepada rakyat serantau,” kata Dr. Arpah.
Pendidikan adalah asas masa hadapan ASEAN yang mampu mencipta inovasi dan pembelajaran silang budaya, di samping memupuk generasi baharu pemimpin yang berdedikasi untuk memajukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Secara peribadi, Dr. Arpah bersetuju program mobiliti mahasiswa ASEAN ini dijadikan aktiviti tahunan dan penyertaan ditingkatkan supaya lebih ramai pelajar ASEAN dapat menyertai program ini.
Menurutnya, peserta telah membuktikan bahawa mobiliti bukan hanya tentang bergerak dari satu tempat ke tempat lain tetapi ia adalah tentang mengembangkan, belajar dan membina hubungan sepanjang hayat.
Pelajar kini adalah sebahagian daripada rangkaian ASEAN yang lebih besar dan perjalanan mereka tidak berakhir di sini sebaliknya, ia hanya satu langkah permulaan ke arah integrasi serantau.