JEDDAH, 9 Februari - 240 perkhidmatan dan nasihat berkaitan pendaftaran negara berjaya diurus menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Diaspora di Arab Saudi.
Program selama enam hari bermula 1 Februari lalu itu telah memberi manfaat kepada 135 rakyat Malaysia di negara itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkhidmatan dan nasihat berkenaan termasuk pembaharuan kad pengenalan, cabutan sijil lahir dan permohonan warganegara.
"Mereka ternanti-nanti sekian lama tiba-tiba Jabatan Pendaftaran datang depan mata menguruskan. Jadi, berbual dengan mereka menjadikan saya rasa terharu, bangga pun ada," katanya pada Program MEKAR Diaspora, Jabatan Pendaftaran Negara 2024, di sini.
Tambah Saifuddin, program MEKAR Diaspora akan dilaksana di lokasi-lokasi lain seluruh dunia.
Beliau berkata, penambahbaikan akan terus dilakukan untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberi kepada rakyat Malaysia.