
SEREMBAN, 18 Mac – Program Mantai Perdana sempena Aidilfitri di Negeri Sembilan tahun ini diperluas ke 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati manfaat jualan daging pada harga lebih rendah.
- 18,000 kg daging dijual bersubsidi, 3,600 kg turut diagihkan secara percuma.
- Subsidi sehingga RM3 setiap kilogram, terhad kepada dua kilogram bagi setiap keluarga.
- Program digabungkan dengan Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI, diselaraskan Jabatan Veterinar Negeri Sembilan membantu rakyat.
Sebanyak 18,000 kilogram daging lembu dijual dengan harga bersubsidi. Selain itu, sebanyak 3,600 kilogram daging turut diagihkan secara percuma.
RTM berkesempatan meninjau ke lima kawasan DUN iaitu Seremban Jaya, Sikamat, Bagan Pinang, Labu dan Senaling.
Di DUN Sikamat, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun turun padang menyantuni rakyat dan menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan daging sempena Hari Raya Aidilfitri.
Sementara, penjualan daging menawarkan subsidi sehingga RM3 bagi setiap kilogram dan terhad kepada dua kilogram bagi setiap keluarga.
Datuk Seri Aminuddin berharap, program Mantai Perdana dapat diteruskan menjadi tradisi tahunan kerajaan Negeri Sembilan.
“Harapannya kita akan teruskan program Mantai Perdana ini sebagai satu tradisi kerajaan Negeri Sembilan dan kita berharap ia akan memberikan sedikit kelegaan kepada masyarakat. Di samping itu program Jualan Rahmah juga diadakan di sini dan menerima sambutan yang amat menggalakkan,” katanya.
Tinjauan RTM turut mendapati, orang ramai mula hadir seawal pagi bagi mendapatkan bekalan daging segar.
Selain jualan daging, program ini turut digabungkan dengan Jualan Rahmah serta Jualan Agro MADANI yang menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga
berpatutan.
Program yang diselaraskan Jabatan Veterinar Negeri Sembilan ini mendapat sambutan menggalakkan dan dilihat mampu membantu meringankan kos sara hidup rakyat menjelang Aidilfitri.