Program Malaysia–China Youth TVET 2.0 perkukuh kemahiran belia India

Ketua Pengarah MITRA, Prabagaran Ganapathy / RTM

KUALA LUMPUR, 6 Februari – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dengan kerjasama Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) akan melaksanakan Program Malaysia–China Youth Technical and Vocational Education and Training (TVET) 2.0, menghantar 500 belia masyarakat India dari Malaysia ke institusi TVET terkemuka di China bermula April ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MITRA dan BELIA MAHIR melaksanakan Program Malaysia–China Youth TVET 2.0 dengan menghantar 500 belia ke institusi TVET terkemuka di China.
  • Program menyediakan latihan teknikal dan praktikal intensif dua minggu hingga dua bulan untuk memperkukuh kemahiran profesional belia.
  • Peserta menerima sijil micro-credential dan sijil China Global Professional and Technical Certificate bagi meningkatkan kebolehpasaran antarabangsa.
  • Kerajaan memperuntukkan RM2.9 juta untuk belia masyarakat India kategori B40 dan M40 berumur 18–25 tahun dalam pelbagai bidang TVET.

Ketua Pengarah MITRA, Prabagaran Ganapathy berkata, program mobiliti antarabangsa itu adalah kesinambungan kejayaan TVET 1.0 yang dilaksanakan pada 2025, melibatkan 500 peserta daripada 60 institusi pengajian tempatan.

Menurut beliau, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada latihan teknikal dan praktikal berkualiti tinggi di institusi pendidikan serta industri di China, sekali gus memperkukuh kemahiran profesional dan kebolehpasaran graduan dalam pasaran pekerjaan global.

“Para peserta akan menjalani latihan intensif selama dua minggu hingga dua bulan, bergantung pada jenis program. Setiap pelatih akan menerima sijil micro-credential daripada institusi TVET yang mereka hadiri. Pensijilan ini bertujuan memberi nilai tambah dan meningkatkan peluang mereka dalam pasaran pekerjaan masa depan”, katanya dalam Sidang Media Pelancaran Program Malaysia–China Youth TVET 2.0, di ibu negara, hari ini.

Prabagaran memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM2.9 juta bagi memastikan pelaksanaan TVET 2.0 pada tahun ini, khusus untuk belia masyarakat India daripada kategori B40 dan M40 berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Bidang latihan yang ditawarkan merangkumi automotif, elektrik, elektronik, mekatronik, teknologi maklumat (ICT), keselamatan siber, automasi industri serta logistik.

Selain itu, setiap peserta turut akan menerima sijil tambahan daripada China Global Professional and Technical Certificate, selain sijil daripada institusi TVET yang dihadiri, bagi meningkatkan pengiktirafan profesional mereka di peringkat antarabangsa.