fb fb fb fb fb

Program MADANI Rakyat 2024, tawar 1,700 peluang pekerjaan

Sapian Mamat

KUALA LUMPUR, 28 Jun- Program MADANI Rakyat 2024 (PMR 2024) diteruskan lagi untuk Zon Pantai Timur.

Program yang merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI tahun lalu, memberi peluang kepada masyarakat Pantai Timur untuk memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif dilaksanakan Kerajaan MADANI.

Ketua Komunikasi Korporat, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Sapian Mamat berkata tarikan utama program bagi zon itu antaranya Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Karnival Kerjaya yang membuka 1,700 peluang pekerjaan oleh 25 majikan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Antara peluang pekerjaan yang disediakan melibatkan beberapa sektor seperti perindustrian, juga ketenteraan pun ada, perhotelan dan juga hartanah serta peruncitan.

"Jadi inilah peluang terbaik untuk mereka yang masih lagi mencari pekerjaan untuk bersama-sama menyerlahkan kualiti...mungkin kita antara 1,700 yang bertuah mendapat pekerjaan pada sesi PMR kali ini," katanya kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di sini.

Program PMR kali ini juga menyediakan kaunter pendaftaran bagi menyemak dan mendaftar inisiatif disediakan kerajaan seperti ekasih, Perkhidmatan Peningkatan Pendapatan dan program-program kesejahteraan rakyat yang tersedia untuk orang ramai yang berkelayakan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM