DAMANSARA, 15 Mac- Program tahunan stesen radio berbahasa Inggeris RTM, TRAXXfm: 'Lights of Ramadan'; menterjemah komitmen berterusan ke arah memupuk semangat komuniti dan kepelbagaian budaya.
Pada masa sama mendidik, memberi inspirasi dan meraikan bulan Ramadan.
Penolong Pengurus TRAXXfm, Niswani Ahwang berkata seramai 35 orang anak yatim dan asnaf yang menghuni Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad disantuni dalam majlis berbuka puasa (iftar) beserta agihan 'duit raya' dan hadiah.
"Program Lights of Ramadan kali ini kita amat bertuah kerana Royal Chulan Damansara bersama-sama dengan TRAXXfm. Program ini saya rasa sangat bermakna kerana diadakan pada bulan Ramadan, kita menyantuni orang yang kurang bernasib baik dan juga kita bersama-sama meraikan bulan Ramadan,"katanya.
Program komuniti yang diserikan dengan persembahan artis tempatan antaranya Atilia Haron, Afieq Shazwan dan Ushera itu bukan sahaja diinspirasikan bagi merai perayaan kaum dan budaya di negara ini, malah juga bertujuan mendekatkan stesen itu kepada khalayak.