KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat Komuniti Madani Gong Gemia berlangsung meriah sebagai usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JAPEN) kali ini melibatkan kerjasama Persatuan Pemilik Teksi Kuala Terengganu dan Stesen Bas Kuala Terengganu.
Pengarah JAPEN, Sait Yaman, berkata program tersebut memberi tumpuan kepada sektor pengangkutan awam, khususnya teksi dan bas di sekitar Kuala Terengganu.
“Kita akan mengedarkan Jalur Gemilang kepada pemilik teksi di Kuala Terengganu, selain memasang dan menyerahkan bendera kepada pemandu bas di Stesen Bas Kuala Terengganu,” katanya.
Menurut beliau, usaha itu bertujuan memastikan pengguna pengangkutan awam turut merasai suasana bulan kemerdekaan.
Katanya lagi, mesej cintakan negara tidak hanya digerakkan melalui premis kerajaan atau kediaman, tetapi juga melalui sektor pengangkutan awam yang menjadi nadi perhubungan rakyat.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menyempurnakan pengedaran Jalur Gemilang kepada pemilik teksi dan bas di Kuala Terengganu.