fb fb fb fb fb

Program Kampung Angkat MADANI, dapat tangani masalah sosial dan infrastruktur - Anwar

Foto BERNAMA

KUANTAN, 6 Julai- Program Kampung Angkat MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Kampung Chengal Lempong, Kuantan; menjadi inisiatif kerajaan untuk menyelesaikan masalah sosial dan infrastruktur, melalui konsep “turun padang” di desa sehingga ke pedalaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia menjadi kaedah dalam mengukur kejayaan melalui pendekatan di peringkat bawah.

Menurutnya, semua menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan pegawai-pegawai kanan perlu memilih kampung angkat masing-masing.

"Sekarang ini ada jentera kerajaan, tapi kadang-kadang tak sampai maklumat itu..jadi kalau ada 2,000-3,000 orang besar-besar ini, yang balik kampung, dia dengar daripada jawatankuasa masjid, persatuan belia, persatuan masyarakat, ketua kampung, penghulu, pegawai, semua... dia dengar di bawah, tak payah panggil daripada pusat atau negeri, dia sendiri turun, mudah-mudahan dapat selesaikan dengan baik," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Kampung Chengal Lempong di sini.

Katanya, setiap permasalahan termasuk kesihatan, pendidikan, sosial, mahupun ekonomi perlu dilihat secara mendalam dan langkah penyelesaian terbaik perlu diatur, sekali gus memastikan tiada rakyat yang tercicir.

Objektif utama program itu katanya adalah bagi merapatkan jurang antara desa dan bandar dengan melengkapkan kemudahan asas terutama air, elektrik, jalan dan capaian jalur lebar.

Jelas beliau, pelaksanaan Kampung Angkat MADANI secara tidak langsung membantu kerajaan mewujudkan dasar melalui kefahaman daripada peringkat akar umbi dan bukannya sekadar pencapaian peribadi.

Dalam pada itu, Anwar berkata rakyat Malaysia perlu memahami erti hijrah untuk berubah kepada yang lebih baik.

Anwar berkata, setiap golongan perlu bekerjasama bagi mencapai perubahan itu.

Menurutnya, perkara tersebut telah berlaku sejak zaman Rasullullah SAW iaitu melalui peristiwa Saidina Ali yang sanggup menggantikan tempat tidur untuk menyelamatkan baginda.

Tambah beliau, rakyat juga perlu meninggalkan cara lama untuk berubah.

"Hijrah itu untuk apa..untuk perubahan..untuk meninggalkan cara lama yang kolot, musyrik, yang zalim, yang menindas orang..yang tidak peduli nilai dan akhlak," kata Anwar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM