
JITRA, 9 Mac– Seramai 1,153 ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT), yang terdiri daripada isteri anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), telah menyertai Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) di seluruh negara pada tahun lalu.
- Program K²T catat 1,153 penyertaan BAKAT tahun lalu; sasaran 1,500 peserta tahun ini.
- 34 jenis kursus kemahiran disampaikan melalui Kolej Komuniti, berasaskan Pembelajaran Sepanjang Hayat dan TVET untuk tingkatkan kemahiran praktikal.
- Inisiatif dibiayai oleh Yayasan LTAT, kerjasama JPPKK dan Pharmaniaga; diperluas ke Sabah Sarawak untuk memperkasakan ekonomi keluarga tentera.
Jumlah penyertaan berkenaan dijangka terus meningkat kepada 1,500 peserta bagi tahun ini.
Ketua Eksekutif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin berkata kesemua peserta terlibat dalam 34 jenis kursus kemahiran yang dikendalikan oleh rangkaian Kolej Komuniti di seluruh negara.
Melalui pelaksanaan kursus berteraskan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program itu memberi peluang kepada ahli BAKAT serta anak-anak anggota ATM untuk meningkatkan kemahiran praktikal.
Inisiatif tersebut bertujuan memberi manfaat dalam kehidupan harian mahupun sebagai persediaan ke arah bidang keusahawanan.
Beliau berharap program tersebut dapat membuka ruang kepada komuniti keluarga ATM untuk menambah ilmu, sekali gus melahirkan lebih ramai keluarga tentera yang berkemahiran, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga.
“Program ini akan diperluas ke Sabah dan Sarawak dan kita menyeru ahli-ahli BAKAT untuk bersama-sama menjayakannya. Matlamat utama adalah untuk memperkasakan kemahiran sekali gus membantu menambah pendapatan melalui kursus yang diikuti di Kolej Komuniti berhampiran kem.”
“Memandangkan terdapat hampir 65 buah kem di seluruh negara yang terletak berhampiran Kolej Komuniti, Yayasan LTAT berpandangan untuk memulakannya melalui kursus jangka pendek terlebih dahulu,” kata Datuk Dr. Mohd Nizar kepada pemberita.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Masakan Kuih Raya untuk ahli BAKAT Kolej Tentera Udara di Kolej Komuniti Darul Aman, di sini.
Program (K²T) merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan melalui Yayasan LTAT dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), sebagai usaha memperkasa pembangunan kemahiran dalam kalangan keluarga anggota ATM.
Program tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sempena Peluncuran Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025 pada Julai tahun lalu.
Projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan LTAT dengan penglibatan Pharmaniaga Berhad sebagai rakan strategik.