KUALA TERENGGANU, 24 Disember - Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Terengganu mencatatkan nilai jualan hingga RM39 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 22 Disember lalu.
Ia melibatkan hampir 930,000 pengunjung dan pengguna pelbagai keperluan menerusi 854 lokasi yang diadakan di seluruh negeri itu.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, tiga jenis model pelaksanaan telah dianjur ntaranya 366 siri dijalankan dalam premis, dua siri secara terbuka dan 486 secara bergerak.
Sambutan yang diterima sangat menggalakkan kerana ia menawarkan pelbagai barangan berkualiti dengan harga lebih murah hingga 30 peratus berbanding pasaran biasa.
Matlamat penganjurannya berjaya dicapai dengan jualan antara 100 hingga 200 barangan keperluan asas di setiap lokasi terlibat.
"Berdasarkan kepada nilai kutipan ini jualan program ini benar-benar memberi tumpuan pengunjung kumpulan sasar. Kalau kita perhatikan PJRM mmg sentiasa ditunggu-tunggu. Malahan jika saya turun di lapangan dan saya berjumpa dengan pengunjung yang hadir ke program PJRM ini masing-masing mengharapkan ia dijalankan secara berterusan. Dan sebagaimana yang kita janjikan ia akan dijalankan di 32 DUN dan lapan parlimen di Terengganu," kata Saharuddin.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 di Kuala Terengganu.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 559 kes pelbagai kesalahan direkodkan bermula Januari lalu melibatkan nilai rampasan berjumlah RM4 juta serta kutipan kompaun RM268, 200.
Paling tinggi ialah kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu 218 kes. Kesemua kesalahan itu dikesan hasil 48,687 pemeriksaan yang dijalankan melibatkan lebih 21,000 premis di seluruh negeri tahun ini.