fb fb fb fb fb

Program Jualan Rahmah dipergiat ke kawasan terjejas banjir

FOTO FB Kpdn Terengganu

HULU TERENGGANU, 29 Disember- Program Jualan Rahmah, (PJR) bergerak terus dipergiat di kawasan-kawasan yang sukar diakses di Terengganu.

Ini termasuk di kawasan yang terjejas banjir.

Pengarah pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, KPDN Terengganu, Shaharuddin Mohd Kia berkata, fokus jualan melibatkan kawasan pendalaman yang sering dilanda banjir.

Menurut Shaharuddin, langkah itu dibuat bagi memudahkan penduduk terjejas mendapatkan bekalan makanan pasca banjir dengan pengurangan 30 peratus daripada harga pasaran.

"Sekarang ini kita fokuskan kepada kawasan-kawasan banjir dan kita minta kerjasamalah daripada penduduk sekiranya ada keperluan dan sebagainya boleh bagi cadangan pandangan kepada kita terutamanya lokasi yang bersesuaian.

"Antara tumpuan kita ialah masjid-masjid, perkarangan tempat letak kereta yang luas dan sebagainya untuk kita adakan jualan rahmah bergerak ditempat tersebut", katanya di sini.

Sementara itu pihaknya memberi jaminan bekalan makanan di negeri itu tidak terjejas akibat banjir.

Tambah Shaharuddin, bagi menggelakkan terputus bekalan makanan, pemborong dan peruncit terpilih dilantik untuk menambah stok bekalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen.
 
Bagaimanapun tiada aduan masalah terputus bekalan diterima semasa banjir di negeri itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD