KUANTAN, 24 Januari- Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM600,000 bagi penganjuran Program Jualan Makmur yang bermula pada Isnin lalu hingga Ahad ini, bersempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
Menurut Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang, inisiatif itu bertujuan membantu rakyat negeri itu khususnya daripada golongan B40 dalam membuat persiapan sambutan perayaan itu.
Beliau berkata menerusi Program Jualan Makmur, orang ramai akan berpeluang menikmati potongan harga sehingga 30 peratus bagi 23 jenis barangan terpilih di 11 pasar raya utama di Pahang.
"Kita perlu pilih item barang, subsidi kita memang tidak kurang dan barang manis pun kita tidak bagi, kurangkan manis, jaga kesihatan. Sebanyak 30 peratus kita buat potongan harga", katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Program Jualan Makmur Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Pahang di sebuah pasar raya di Kuantan.
Tambahnya, program itu juga diadakan seiring dengan Jualan Rahmah MADANI yang diadakan setiap bulan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi memperbanyakkan lagi program jualan murah kepada rakyat di negeri itu.
Jelas beliau, peruntukan program jualan itu telah diumumkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam Belanjawan Negeri Pahang 2025 menerusi Program Jualan Makmur Kluster Perayaan Peringkat Negeri Pahang dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.52 juta.